Pindaan Akta Kanak – Kanak perlu disegerakan, jangan tangguh lagi – Wanita MIC
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Wanita MIC menggesa Peguam Negara supaya tidak melewatkan dan menangguhkan lagi hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sudah terlalu lama Peguam Negara menangguhkan hasrat KPWKM untuk meminda Akta tersebut sedangkan sekarang ini sudah terlalu banyak kes yang menggugat keselamatan kanak-kanak,” Kata Ketua Wanita MIC Wilayah persekutuan, S.Kogilam kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.
Menurutnya lagi, KPWKM juga harus menggesa Peguam Negara percepatkan proses supaya pindaan Akta tersebut berjaya mengurangkan jumlah kes yang melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Antara kes yang dimaksudkan oleh Kogilam adalah kes kebakaran yang berlaku tiga hari lalu dimana seorang kanak-kanak perempuan lima tahun rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Papar, Kota Kinabalu.
Kanak-kanak tersebut dipercayai ditinggalkan seorang diri di rumah yang dikunci bapanya ketika keluar untuk bekerja dan mangsa cuba untuk menyelamatkan diri dengan memecahkan dinding papan lapis, namun tidak berjaya.
Manakala satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki diculik minggu lalu ketika bapa mangsa terlupa mengunci kenderaannya semasa singgah untuk ke tandas di stesen minyak dan pada masa itu juga mangsa sedang nyenyak tidur di bahagian belakang.
Sebaik sahaja bapa kanak-kanak tersebut keluar daripada tandas, didapati kereta bersama dengan mangsa telah hilang.
Kereta itu ditemui di kawasan berhampiran beberapa jam selepas kejadian dan kereta tersebut berada di dalam keadaan berkunci tetapi kanak-kanak itu telah hilang.
Berdasarkan kes-kes tersebut, Kogilam yang juga exco wanita MIC kebangsaan menganggap kebanyakkan rakyat Malaysia tidak sedar tentang kepentingan menjaga keselamatan kanak-kanak dan ramai yang mengambil mudah Akta yang sedia ada.
“Hukuman kepada ibubapa yang cuai dalam menjamin keselamatan anak-anak mereka memang sudah ada tetapi berapa kerap kita mendengar hukuman ini dijatuhkan. Senario tersebut semakin membimbangkan ?, ” soal Kogilam.
Hukuman yang sedia ada dibawah Akta Kanak-Kanak 2001 sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh ibubapa apabila hanya penjara maksimum 10 tahun dan denda sebanyak RM20,000 dikenakan.
“Saya amat berharap Peguam Negara percepatkan proses supaya KPWKM boleh membawa usul ini ke parlimen dengan segera,” katanya.
Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 oleh KPWKM
Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di petik berkata kementeriannya akan mengambil tindakan tegas kepada ibu bapa yang cuai di bawah Akta Kanak-kanak 2001.
Menurut ahli parlimen Batang Lupar itu, kira-kira 70% kandungan Akta Kanak-kanak 2001 akan dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai dalam menjaga keselamatan anak-anak mereka.
“Hukuman yang dikenakan kepada mereka bergantung kepada jenis kecuaian yang mereka lakukan sama ada kejadian yang berlaku disengajakan atau tidak disengajakan,” jelas beliau.
Rohani menambah sekiranya kecuaian yang berlaku itu didapati dilakukan dengan sengaja, ibu bapa yang didapati bersalah itu perlu menjalani empat perkara sebagai hukuman di atas kecuaian mereka.
Pertama, pesalah akan dijatuhkan hukuman dan juga membayar denda sebanyak RM20,000 supaya dapat memberi pengajaran kepada ibubapa tersebut dan juga yang lain.
Mereka juga akan perlu menjalankan kerja-kerja khidmat sosial atau komuniti sebagai contoh menempatkan mereka di rumah kanak-kanak ataupun menjaga orang tua.
Perkara yang kempat adalah pesalah harus menjalani kursus keibubapaan dan sesi kaunseling.
Katanya cadangan pindaan itu sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk penelitian sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Saya berharap Akta tersebut akan dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini juga,” katanya.
http://www.themalaysiantimes.com.my/pindaan-akta-kanak-kanak-perlu-disegerakan-jangan-tangguh-lagi-wanita-mic/